Kuala Lumpur, 17 Januari 2017 – Media Prima Digital menerusi cabang digitalnya, Media Prima Labs sekali lagi berazam mahu mencetuskan fenomena tersendiri dalam pasaran permainan tempatan menerusi pelancaran aplikasi permainan mudah alih terbaru, J Revolusi. Kita telah melihat beberapa permainan dengan konsep tembak-menembak di Malaysia tetapi Media Prima Labs kali ini menawarkan pengalaman permainan ‘First Person Shooter’ dengan latar 3D yang canggih serta Misi Operasi Khas. Permainan J Revolusi penuh dengan aksi di mana ia merupakan permainan ‘FPS’ pertama di Malaysia yang diilhamkan berdasarkan filem. Pemain boleh memilih di antara karakter Eddie atau Jay yang bertugas di dalam Skuad Khas Elit Malaysia. Permainan mudah alih J Revolusi menterjemah ceritera filem J Revolusi ke dalam sebuah dunia yang penuh interaktif di mana para pemain berpeluang merasai sendiri pengalaman berada dalam skuad elit tersebut. Filem J Revolusi yang menjadi inspirasi permainan ini pula akan menemui penonton di seluruh pawagam tanahair 2 Mac 2017 ini.
Pengurus Besar Kanan Kumpulan Media Prima Labs & Operasi, Nicholas Sagau berkata “Genre ‘First Person Shooter’ tidak asing lagi dalam industri permainan dan generasi muda terutamanya ‘gamer’ tegar meminati permainan dalam genre ini. Selepas kami berjaya memperkenalkan permainan Ejen Ali yang kini telah mendapat jumlah muat turun lebih daripada 950 ribu, kami ingin mengambil peluang untuk memberikan kelainan yang berupaya mendatangkan impak signifikan kepada dunia permainan mudah alih tanahair khususnya. Permainan J Revolusi membawa nafas baru terhadap industri permainan tempatan menerusi jalan cerita serta misi cabaran yang pastinya akan membuatkan pemain teruja”, ujar Nicholas lagi.
Menerusi aplikasi ini, pemain boleh memilih untuk bertarung di 3 lokasi yang berbeza iaitu Kilang Lombong, Gudang ataupun Kota Raya selain pilihan menggunakan pelbagai jenis senjata seperti M4 Carbine, MP5, Glock 18, SPAS12 dan Remington 700. Aksesori tambahan juga boleh didapati menerusi pembelian ‘in-app’. Para pemain juga berpeluang mengumpul mata dalam permainan ini dan menaiktaraf pilihan senjata dan aksesori mereka. Dibangunkan dengan kesan bunyi dan muzik latar yang cukup menarik, permainan J Revolusi turut menampilkan kesan grafik yang padu dan bersesuaian dengan ‘mood’ serta konsep keseluruhan cabaran yang ingin ditonjolkan permainan ini. Tambahan pula, ciri-ciri istimewa seperti latar tempat yang menampilkan bangunan ikonik Menara Berkembar Petronas membuatkan permainan ini lebih dekat di hati penonton dan ‘gamer’ di Malaysia. Bukan sahaja karakter yang menyerupai pelakon filem J Revolusi sendiri iaitu Zul Ariffin dan Izara Aishah, suara mereka turut digabungkan ke dalam permainan ini.
Laman utama aplikasi J Revolusi pula menawarkan tutorial untuk pemain membiasakan diri dengan konsep serta mekanisma permainan. Selain itu, pemain juga boleh menentukan warna senjata mereka ataupun membuat pembelian kredit ‘in-app’ untuk menaiktaraf jenis senjata yang digunakan. Untuk bermain permainan ini, pemain hanya perlu memulakan misi mereka dengan memilih senjata yang ingin digunakan. Objektifnya cukup mudah; menewaskan semua musuh yang cuba menghalang misi di sepanjang perjalanan. Untuk menggerakkan watak, para pemain hanya perlu mengawal skrin sesentuh. Misi selesai apabila semua musuh ditumpaskan dan beralih ke peringkat seterusnya, cabaran lebih besar menanti pemain.
Muat turun aplikasi J Revolusi sekarang secara percuma di Apple Store dan Google Play Store. Permainan mudah alih interaktif ini pastinya menghangatkan lagi kemunculan filem J Revolusi yang dijadualkan menemui menonton awal Mac nanti. Media Prima Labs akan turut melancarkan beberapa lagi aplikasi menarik dalam masa terdekat yang mampu memberikan manfaat kepada pengguna di luar sana.