Khamis, 28 September 2017, 8 Muharam 1439H – Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), rangkaian terbesar peruncitan milik anak tempatan melancarkan sistem perkhidmatan pembelian dalam talian atau lebih mesra dikenali sebagai Online Shopping di MYDIN USJ, Subang Jaya, Selangor. Sememangnya, langkah MYDIN menubuhkan perkhidmatan ini amat sinonim dan bersesuaian dengan kehendak gaya membeli barangan keperluan dalam golongan masyarakat yang berkerjaya dasawarsa ini. Perkhidmatan MYDIN Online Shopping ini dikomersialkan dengan nama MYDIN Online, ‘Klik & Pick’ #JomKlikMydin dan aplikasi ini sudah tersedia dan boleh dimuat turun sekarang di aplikasi Google Play Store dan Apple App Store.
‘Alhamdulillah, saya rasa bersyukur kerana akhirnya MYDIN berjaya menyediakan perkhidmatan Online Shopping dan dilancarkan bersempena dengan sambutan ulang tahun MYDIN yang ke-60. Secara ringkasnya, konsep MYDIN Online,‘Klik & Pick’ dibangunkan sepenuhnya berdasarkan konsep perniagaan MYDIN yang sedia ada iaitu dengan penawaran barangan/perkhidmatan yang halal dan pelbagai. MYDIN percaya inilah masa yang sesuai untuk memperkenalkan satu lagi platform membeli-belah dan khusus sempena pelancaran ini, MYDIN tidak akan mengenakan sebarang caj penghantaran atau penggunaan ‘locker’ khas untuk setiap pembelian RM60 dan ke atas sehingga 31 Oktober 2017. Adalah menjadi harapan saya agar para pelanggan setia MYDIN dan juga para pelanggan baru MYDIN akan memaksimakan penggunaan MYDIN Online,‘Klik & Pick’ sebagai platform kedua untuk membeli-belah di MYDIN.
Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin,
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad.
Selaras dengan trend pasca-kemodenan dunia perniagaan dalam talian, khususnya dalam bidang peruncitan, yang kini mempunyai pelbagai gaya dan pelanggan tersendiri telah dijadikan sebagai objektif perdana MYDIN untuk menubuhkan MYDIN Online,‘Klik & Pick’ ini. Selain itu, rutin seharian dan cara hidup kerja masyarakat yang berkerjaya hari ini telah menuntut masa mereka yang lebih banyak dan akhirnya waktu untuk perkara lain seperti urusan membeli barangan keperluan telah terjejas juga menjadi pemangkin kepada penubuhan MYDIN Online,‘Klik & Pick’ ini. Ketiadaan premis perniagaan di sesetengah kawasan dan atas permintaan serta cadangan daripada para pelanggan juga dijadikan sebagai faktor pendorong kepada penubuhan MYDIN Online,’Klik & Pick’ ini, untuk terus menawarkan peluang kepada para pelanggan mendapatkan kemudahan membeli barangan keperluan mereka.
Bagi pemegang Kad Meriah, setiap pembelian akan mendapat mata ganjaran yang sama seperti membeli-belah di premis perniagaan. Untuk pemegang Kad Meriah, mereka boleh membuat pendaftaran secara ‘Login’ dan klik ‘First Time Login’, manakala untuk bukan pemegang Kad Meriah perlu membuat pendaftaran secara ‘Register’. Pencapaian ini sesungguhnya telah membuktikan bahawa MYDIN, syarikat peruncit anak tempatan mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah bersama-sama dengan syarikat peruncit antarabangsa.’
Untuk peringkat awal pelaksanaan, MYDIN Online, ‘Klik & Pick’ menawarkan lebih daripada 7000 barangan yang terdiri daripada barangan keperluan dapur, barangan kesihatan dan kecantikan, barangan muslimin (pakaian), barangan segar yang siap dibungkus, peralatan rumah/kebun, barangan Super Star seperti Buku MYDIN Di Sebalik Tabir dan sebagainya. Perkhidmatan penghantaran pembelian dalam talian hanya ditawarkan dalam jarak 10km daripada MYDIN USJ, Subang Jaya, khusus kepada 12 poskod berikut; 46000 46150 47160 47180 47190 47300 47301 47500 47600 47630 47640 47650
Jumlah barangan yang ditawarkan ini akan diperbanyakkan dan rangkaian perkhidmatan penghantaran ke rumah akan diperluaskan dari semasa ke semasa.
MYDIN Online,‘Klik & Pick’ menawarkan tiga cara untuk para pelanggan mendapatkan barangan pembelian dalam talian. Pertama, perkhidmatan penghantaran ke rumah pelanggan, kedua, pengambilan barangan pembelian di cawangan MYDIN USJ dan yang ketiga pengambilan barangan pembelian di locker khas. Kos tambahan sebanyak RM5 dikenakan bagi pembelian barangan yang menggunakan perkhidmatan locker khas dan RM10 untuk perkhidmatan penghantaran ke rumah bermula pada 1 November 2017.
Sesuatu yang menarik tentang MYDIN Online,‘Klik & Pick’ adalah MYDIN merupakan pasar raya dalam talian yang pertama menyediakan perkhidmatan Chiller & Frozen Locker demi memastikan kesegaran barangan yang dibeli kekal terpelihara. Para pelanggan yang menggunakan perkhidmatan ini akan menerima mesej kod pin untuk membuka locker tersebut. Terima kasih kepada DIGI selaku rakan telekomunikasi rasmi dalam usaha merealisasikan projek MYDIN Online ‘Klik & Pick’.
Pengangkutan yang disediakan untuk perkhidmatan penghantaran MYDIN Online, ‘Klik & Pick’ ini dikhususkan untuk menghantar barangan MYDIN sahaja. Para pelanggan tidak perlu khuatir kerana status kebersihan dan keselamatannya 100% diyakini tanpa was-was kerana tidak bercampur dengan penghantaran yang lain.
Diharapkan dengan penubuhan MYDIN Online, ‘Klik & Pick’ ini, MYDIN akan terus menjadi pasar raya pilihan utama untuk para pelanggan dalam mendapatkan segala keperluan barangan seharian secara berterusan sama ada melalui pembelian di premis perniagaan atau pembelian secara terus di talian. MYDIN akan terus membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa dalam usaha memberikan produk dan perkhidmatan menarik kepada para pelanggan MYDIN Online.
Bersempena dengan MYDIN 60 Tahun, ADABI juga turut serta memeriahkan Majlis Pelancaran MYDIN Online dengan mengadakan promosi di ruang legar serta penyediaan minum petang.