Quantcast
Channel: Galaksi Media
Viewing all articles
Browse latest Browse all 4156

(SEMASA) PERLANTIKAN MIRA FILZAH SEBAGAI DUTA MyPA

$
0
0

Nur Amirah Filzah binti Badioezaman atau lebih dikenali sebagai Mira Filzah merupakan seorang pelakon, pengacara, model dan usahawan wanita yang tidak asing lagi di Malaysia. Beliau merupakan graduan jurusan perniagaan antarabangsa di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam. Di samping berlakon, beliau juga berkecimpung dalam bidang perniagaan dengan mengeluarkan produk kecantikan miliknya sendiri.

Terbaru, Mira Filzah telah dilantik sebagai Duta kepada Malaysian Parachute Association (MyPA), atas minat mendalam beliau dalam sukan ekstrem ini. Ini dapat dilihat daripada keberanian beliau mencuba sukan payung terjun ini secara tandem dari aras 15,000 kaki baru-baru ini. Sebelum itu, Mira Filzah juga telah melengkapkan sesi latihan indoor skydiving di iFly Downunder, Australia.

Keterlibatan secara langsung MyPA adalah melalui Presiden persatuan ini sendiri iaitu Kapt (B) Amar Ab Aziz. Beliau merupakan individu yang bertanggungjawab dalam memperkenalkan sukan payung terjun ini kepada Mira Filzah dan beliau juga adalah orang yang merancang dan menguruskan sesi terjunan tandem Mira Filzah di Sydney Skydivers, Australia.

Berdasarkan kepada pencapaian Mira Filzah setakat ini, MyPA merasakan bahawa beliau adalah ikon yang paling sesuai untuk menjadi Duta yang pertama. Mempunyai lebih dari 4 juta pengikut di laman sosial media Instagram, beliau telah membuktikan bahawa sukan payung terjun mampu menarik minat orang ramai berdasarkan maklum balas yang telah diterima. Ini sejajar dengan matlamat MyPA untuk mengembangkan sukan ini di tanah air sekaligus sama-sama memartabatkan sukan ini setanding dengan sukan-sukan teras dan sukan ekstrem yang telah lama bertapak di Malaysia.

Tidak mustahil jika melalui program ini, Mira Filzah selaku Duta Persatuan Payung Terjun Malaysia, suatu hari nanti mampu dan layak untuk melakukan aktiviti ini secara solo. Sama ada di dalam bidang Indoor Skydiving atau Penerjun Bebas, MyPA akan memastikan salah satu matlamat itu tercapai. InsyaAllah.

LATAR BELAKANG MALAYSIAN PARACHUTE ASSOCIATION (MyPA)
Malaysian Parachute Association (MyPA) adalah badan sukan peringkat kebangsaan yang mentadbir semua kelab payung terjun di Malaysia bermula dari 27 Disember 2018. Didaftarkan secara rasmi dibawah Pesuruhjaya Sukan Malaysia sebagai Persatuan Payung Terjun Malaysia. Organisasi ini tidak lain tidak bukan bertujuan untuk membangunkan, mencungkil bakat baru penerjun payung tempatan, menambahbaikkan peraturan payung terjun kebangsaan, menjalankan acara berprestij, serta bekerjasama dengan agensi lain untuk memupuk dan membawa kesedaran kepada orang ramai tentang sukan yang ekstrem ini.

Objektif penubuhan MyPA adalah seperti berikut:
• Membangun bakat tempatan dalam sukan payung terjun;
• Mewujudkan kesedaran dan pendidikan dalam sukan payung terjun;
• Mengembangkan bakat penerjun yang berkelayakan untuk bertanding atau menjadi hakim
pertandingan di peringkat antarabangsa;
• Membangunkan Standard Operation Prosedure (SOP) yang dikawal selia untuk sukan payung
terjun dan indoor skydiving di Malaysia.

Walaupun MyPA baru sahaja didaftarkan, sejarah organisasi ini bermula sejak tahun 2009. Inisiatif yang mula diperkenalkan oleh Kapten (B) Amar Ab Aziz (Kapt. Amar) dan 5 ahli individu lain yang dikenali sebagai “Nukleus 5”. Organisasi ini telah bekerjasama dengan agensi lain seperti ATM, PDRM, dan BOMBA untuk membangunkan payung terjun awam Malaysia.

Pada tahun 2013, Nucleus 5 telah melancarkan satu program transformasi dikenali sebagai Revolutionary of Parachuting in Malaysia (RoPiM). RoPiM mempunyai perancangan Garis Masa selama 5, 10, dan 15 tahun untuk menjadikan sukan payung terjun ini diterima secara total di Malaysia ini.

Perkembangan berperingkat yang dicapai sedikit demi sedikit diteruskan pada tahun 2015 dengan menaiktarafkan Nuclues 5 kepada Biro Payung Terjun Malaysia. Usahasama pertama yang dilakukan oleh Biro ketika itu adalah dengan melibatkan diri di dalam penganjuran Kejohanan Payung Terjun Angkatan Tentera Malaysia 2015 di Kuala Terengganu, Terengganu. Peranan Biro adalah dengan menjadi urusetia perhubungan peserta luar negara. Kepercayaan ini diberikan oleh Persatuan Payung Terjun ATM untuk menarik penyertaan peserta dari luar negara ke Malaysia.

2017 menyaksikan prestasi Biro yang dinaiktarafkan dan didaftarkan sebagai Persatuan untuk mewakili Malaysia di dalam bidang sukan Payung Terjun di peringkat antarabangsa. Selepas melalui beberapa tapisan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia, maka Persatuan Payung Terjun Malaysia didaftarkan pada 27 Disember 2018. Walaupun melalui pelbagai kesukaran untuk mendaftar persatuan ini, sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh agensi kerajaan seperti ATM, PDRM, Bomba dan lain-lain tidak dapat dibalas dengan wang ringgit. Tanpa agensi ini, kewujudan MyPA tidak bermakna.

PENCAPAIAN
Antara pencapaian terawal MyPA sebelum didaftarkan adalah dengan penglibatan di dalam percubaan rekod formasi terjun bebas terbesar Australia yang dibuat di Perris Skydive, California, Amerika Syarikat pada tahun 2015. Rekod ini disertai oleh Kapt Amar dari 2013 dan ianya mengambil masa persiapan selama 2 tahun untuk layak menyertai rekod tersebut.

Seterusnya, penglibatan di dalam penganjuran Kejohanan Payung Terjun ATM bermula 2015 sehingga 2017 berturut-turut di Kuala Terengganu, Terengganu. Yang terakhir adalah di Pahang iaitu pada tahun 2018. Kejohanan antarabangsa yang disertai pula adalah di dalam 1st Asiania Indoor Skydiving Championship 2018 di Chongqing, China. MyPA di bawah kepimpinan Kapt. Amar telah mengumpulkan atlet tempatan dan mewujudkan pasukan kebangsaan untuk bersaing dalam acara antarabangsa ini, yang membuka minat ramai orang terhadap sukan payung terjun.

HARAPAN
Perjalanan selama 10 tahun ini tidak akan berhenti begitu sahaja. Matlamat MyPA adalah untuk menyediakan platform pada generasi akan datang, bukan untuk generasi kini. Walaubagaiamanapun, sekiranya generasi kini tidak memulakannya, bagaimana mungkin generasi akan datang dapat merasa kenikmatannya.

Keahlian MyPA terbuka kepada semua warganegara Malaysia dan bukan warga negara yang berminat menjadi sebahagian daripada sejarah payung terjun di Malaysia. Maklumat lanjut boleh diperolehi melalui kemaskini yang dimuat naik di dalam semua sosial media MyPA dan juga laman sesawang  : www.mypa.org.my.

Penyertaan keahlian boleh dilakukan melalui kelab-kelab gabungan MyPa. Keahlian tidak semestinya memerlukan anda menjadi seorang penerjun bebas, ini kerana MyPA mengalu-alukan sesiapa yang mempunyai pelbagai kepakaran untuk bekerjasama dengan MyPA bagi memenuhi objektif yang telah dirancang.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 4156