Petaling Jaya, 22 Mac 2023 – Drama bersiri ‘Melur Untuk Firdaus 2’, telah pun disiarkan sejak 16 Mac lalu menerusi slot Akasia di TV3. Lagu ‘Pejam’ yang merupakan single Rahmad Mega dipilih untuk menjadi lagu runut kepada drama (musim pertama) yang pernah mencetus fenomena sehingga menjadi trending di negara seberang. Ini merupakan single terbaharu bagi Rahmad setelah bergelar Juara di program realiti Terpaling Juara (TV3).
Single ‘Pejam’ ini merupakan hasil nukilan daripada komposer dan penulis lirik berpengalaman iaitu Omar K dan Ikhwan Fathana. Lirik lagu ‘Pejam’ ini dilihat bersesuaian dengan jalan cerita drama bersiri 35 episod ini. Apatah lagi suara Rahmad yang gemersik rock membuatkan lagu ini bertambah menarik serta sesuai untuk dijadikan lagu runut kepada drama ‘Melur Untuk Firdaus 2’ yang dilakonkan oleh Meerqeen, Anna Jobling, Eyka Farhana dan Azim Yusof.
Rahmad telah mencipta nama sebagai penyanyi rock sejak tahun 1980-an. Beliau terkenal dengan lagu Bayangan Gurauan dan pernah menjadi Juara dalam Anugerah Juara Lagu pada tahun 1991 bersama kumpulannya iaitu kumpulan Mega. Kini, beliau cuba untuk memberikan kelainan dengan membawakan lagu bergenre pop.
Menurut Rahmad, “Lagu Pejam merupakan genre yang di luar zon selesa saya kerana saya lebih terkenal dengan pembawaan lagu bergenre rock, pop rock, dan juga slow rock. Namun, kali ini saya ingin mencuba sedikit kelainan untuk lagu Pejam yang merupakan gubahan bergenre pop. Lagu ini menyentuh jiwa saya kerana ia mempunyai lirik sentimental dan membawa maksud yang amat mendalam. Saya juga sangat bertuah kerana terpilih untuk menyanyikan lagu runut bagi drama bersiri Melur Untuk Firdaus 2. Harapan saya agar penonton, pendengar dan peminat saya dapat menerima perubahan genre terbaharu daripada saya. Terima kasih saya ucapkan di atas sokongan anda semua dari dahulu sehinggalah kini. Sokongan anda semua sudah tentu memberikan saya semangat untuk terus berkarya dalam industri seni muzik tanah air.”
Untuk mendengar lagu ‘Pejam’ ini sila layari saluran rasmi YouTube Alternate Records & Talents Pejam OST Melur Untuk Firdaus 2 (Rahmad Mega) dan semua platform digital bermula 22 Mac 2023.